PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mencadangkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800 bagi kakitangan awam yang telah berkorban menjadi barisan hadapan dalam usaha mengekang wabak Covid-19 sebelum ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, peningkatan gaji secara bersasar itu bertujuan membantu kira-kira 650,000 penjawat awam yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.
Menurutnya, ia termasuk kakitangan perubatan yang bertungkus lumus merawat pesakit di hospital, pihak polis, tentera serta lain-lain jabatan yang bertugas 24 jam, tujuh hari seminggu secara bergilir.
“Pandemik Covid-19 telah meninggalkan kesan kepada penjawat awam berikutan tekanan hidup khususnya melibatkan golongan pekerja berpendapatan rendah B40.
“Ini disebabkan peningkatan kos sara hidup serta beban hutang yang ditanggung ketika ini memberi kesan kepada produktiviti di tempat kerja serta masa berkualiti bersama keluarga. Justeru, Cuepacs berharap agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan gaji RM1,800 untuk golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Adnan berkata, Covid-19 juga turut memberi kesan terhadap perubahan kaedah penyampian perkhidmatan terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semasa permulaan PKP dilaksanakan, penjawat awam didedahkan dengan amalan norma kerja serba baharu. Sebahagian besar tugas yang dulunya dilakukan secara manual telah dipindah kepada mod digital.
“Justeru untuk sambutan hari pekerja tahun 2022, Cuepacs memilih tema ‘Kelestarian Pendigitalan Mendepani Cabaran’ bersandarkan realiti masa kini bagi memastikan kakitangan awam bersedia serta terus kekal relevan,” ujarnya,
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut perlu diberi perhatian supaya pendigitalan proses itu dapat dicapai menerusi pelbagai peringkat dengan penglibatan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan kakitangan awam.
“Di peringkat kerajaan, komitmen perlu ditunjukkan melalui pelaburan modal seperti usaha membangunkan platfom digital seperti insiatif penyimpanan awan termasuk menyediakan kemudahan peralatan selaras dengan peredaran zaman.
“Perhatian juga harus diberi kepada aspek keselamatan siber seperti risiko kebocoran maklumat, manakala ketua-ketua jabatan pula bertanggungjawab melakukan perancangan dan pemantauan yang jitu,” katanya. .
Tambah Adnan, kakitangan awam perlu bersedia mendepani cabaran ini melalui usaha melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran digital seperti menghadiri program-proram latihan bagi meningkatkan kompetensi dalam digital. – KOSMO! ONLINE