PUTRAJAYA – Seorang suri rumah dan anak lelakinya maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu suaminya hilang kawalan lalu terbabas dalam satu kemalangan di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa, Amalina Azman, 32, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala anaknya, Dzul Qarnain Mohd. Iqbal berusia dua tahun dua bulan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, suami mangsa, Mohd. Iqbal Kamaruddin, 33, disyaki mengantuk dan kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar penghadang air merah putih ‘water barrier’ di bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak lelaki berkenaan maut di tempat kejadian dan penumpang wanita pula disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya namun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, lokasi kemalangan tersebut mempunyai tiga lorong tiga hala manakala jalan dipisahkan dengan garisan putih selain keadaan cuaca baik manakala, aliran trafik lancar.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE