MOSCOW – Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace memberi amaran bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin boleh bertindak mengisytiharkan Perang Dunia Ketiga dalam masa beberapa hari sahaja lagi, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Amaran itu susulan dakwaan Kremlin bahawa operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine berkemungkinan besar berakhir dengan perang dunia nuklear.
Wallace berkata, Putin mungkin menggunakan sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei ini sebagai simbolik untuk memanggil tentera Rusia supaya memerangi golongan Nazi di seluruh dunia.
Hari kemenangan diraikan bagi memperingati kejayaan Kesatuan Soviet mengalah tentera Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.
Sementara itu, Putin mempamerkan kekuatan tenteranya dalam perarakan raptai Hari Kemenangan di Moscow dan bandar St. Petersburg.
“Saya tidak terkejut jika beliau mengisytiharkan pada Hari Kemenangan bahawa Rusia berperang dengan Nazi dunia.
“Kita perlu membantu rakyat Ukraine melepaskan diri daripada cengkaman Moscow dan mengekalkan momentum untuk menewaskan Rusia,” kata Wallace.
Beliau berkata, Britain akan terus membekalkan senjata kepada Kiev dan sedang mempertimbangkan untuk menyediakan peluru berpandu anti-kapal.
Negara-negara Barat memberikan bantuan, senjata dan peralatan kepada Ukraine melainkan kecuali menghantar tentera untuk bertempur secara bersemuka atau melaksanakan zon larangan terbang.
Britain membekalkan senjata anti kereta kebal, peluru berpandu pertahanan udara dan merancang untuk membekalkan kenderaan berperisai Stormer untuk membantu Ukraine melawan Rusia.
Awal minggu ini, Moscow mengancam untuk menyerang pangkalan tentera Britain dengan jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, serangan itu boleh dibenarkan terhadap negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kata Wallace, beliau tidak terkejut dengan ugutan Kremlin sambil menambah, NATO mempunyai bilangan senjata yang lebih banyak dan mampu mengalahkan Rusia.
“Saya tidak merasa terganggu atau takut dengan ugutan Putin.
“Kita mempunyai angkatan tentera yang kuat dan penghalang nuklear. Kita juga terdiri daripada 30 negara yang mempunyai potensi memenangi pertempuran dengan Kremlin.
“Saya berasa yakin kerana di suatu lokasi rahsia, terdapat pasukan terbaik sedang bersembunyi dan menunggu arahan sekiranya Britain perlu dilindungi,” ujarnya.
Putin sebelum ini menegaskan bahawa mana-mana negara yang campur tangan dalam operasi khas Rusia untuk ‘membersihkan’ Ukraine daripada kawalan Nazi bakal menerima balasan yang dahsyat.
“Mana-mana negara yang berniat campur tangan secara langsung dalam isu Ukraine akan berdepan akibat daripada penggunaan senjata canggih milik Moscow,” kata Putin yang merujuk kepada peluru berpandu nuklear Satan II. – Agensi