PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke arah utara, selatan dan Pantai Timur masih lagi sesak berikutan orang ramai balik ke kampung bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! di laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 5.30 petang tadi mendapati keadaan trafik masih lagi sesak melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Di utara, kesesakan dilaporkan berlaku dari Slim River menuju ke Bidor, Tapah ke Gopeng terutamanya sekitar kawasan mendaki serta laluan selepas Terowong Manora menuju ke arah kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak.
Selain itu, kenderaan juga bergerak perlahan sepanjang laluan Bandar Baharu ke Jawi dan dari Juru menghala ke Sungai Dua, Pulau Pinang.
Di KLK pula, aliran trafik dikatakan tinggi dan perlahan sejauh 7.4 kilometer (km) dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan keadaan sesak sepanjang 4.2 km dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan yang berlaku. – KOSMO! ONLINE