JAKARTA – Majlis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia menetapkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin, 2 Mei 2022, lapor saluran berita Liputan6.
Maklumat tersebut disampaikan oleh Setiausaha Pemimpin Pusat Muhammadiyah, Agung Danarto setelah mendakwa telah melihat hilal (anak bulan) Syawal pada tahun 2022.
“Pemimpin Pusat Muhammadiyah menyeru agar Solat Hari Raya Aidilfitri dan amalan termasuk takbir raya, zakat fitrah dan sebagainya agar dilaksanakan dengan khusyuk dan cermat,’’ kata Agung.
Menurutnya, seluruh acara berkaitan Hari Raya Aidilfitri perlu dilaksanakan dengan tetap mengikuti protokol kesihatan seperti memakai pelitup muka.
“Peluang Aidilfitri perlu digunakan untuk mengekalkan perpaduan dan mengeratkan silaturahim,’’ katanya.
Agung berharap kelonggaran yang diberikan oleh pemerintah dapat digunakan dengan bijak oleh masyarakat Indonesia iaitu dengan menjalinkan silaturahim selepas dua tahun tidak dapat bertemu secara fizikal pada hari raya.
“Muslimin dan muslimat di mana sahaja berada, manfaatkan Hari Raya Aidilfitri untuk mengeratkan silaturahim dengan mengucapkan salam atau menziarahi sanak saudara setelah dua tahun Covid-19 melanda,’’ jelas beliau. – Agensi