COLUMBUS, Ohio – Seorang wakil rakyat negeri Ohio di Amerika Syarikat (AS), Jean Schmidt mencetuskan kontroversi apabila mendakwa bahawa jenayah rogol adalah peluang kepada mangsa untuk menjadi ibu yang lebih baik, lapor akhbar MailOnline.
Schmidt, 70, membuat kenyataan itu semasa sesi pendengaran Rang Undang-undang Dewan 598, juga dikenali sebagai ‘Akta Perlindungan Nyawa Manusia’ bagi mengharamkan pengguguran.
Rang undang-undang itu tidak membuat sebarang pengecualian termasuk mangsa rogol atau sumbang mahram.
“Memang memalukan apabila ia (rogol) berlaku, namun ada peluang untuk wanita itu (mangsa), tidak kira muda atau tua untuk melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada dirinya.
“Lakukan sesuatu yang produktif bagi membantu kehidupan sendiri,” katanya.
Beliau telah diselar oleh aktivis pro-pengguguran yang menggelarnya sebagai memaafkan jenayah rogol. – Agensi