LONDON – Pelumba Mexico, Sergio Perez menganggap dia mempunyai peluang besar untuk memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) bersama pasukan Red Bull Racing musim ini.
Justeru, Perez melihat penting baginya untuk tampil konsisten pada setiap perlumbaan agar mampu memberi saingan sehingga penghujung musim.
Perez sedar untuk memburu gelaran dunia, dia juga terpaksa bersaing dengan rakan sepasukannya, Max Verstappen.
“Saya rasa peluang untuk bergelar juara dunia bersama Red Bull terbuka dan saya harus membuktikan saya mampu melakukannya.
“Saya tidak mahu sekadar memenangi perlumbaan dan ketika ini fokus saya adalah memburu gelaran dunia,” katanya.
Bagaimanapun, Perez mengakui sekiranya peluangnya untuk menjulang kejuaraan tipis, dia bersiap sedia untuk membantu Verstappen mempertahankan gelaran pada musim ini.
“Jika peluang saya untuk meraih gelaran dunia tertutup, saya akan melakukan terbaik seperti tahun lalu di Abu Dhabi. Ada ketikanya, anda perlu bersikap rasional dengan mengutamakan pasukan.
“Tetapi, pada waktu ini saya mahu bekerja lebih keras untuk memburu gelaran dunia,” tambahnya.
Perez ketika ini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dan hanya dipisahkan lima mata dengan rakan sepasukannya, Verstappen.
Pelumba Ferrari, Charles Leclerc masih mendahului perlumbaan dengan 86 mata selepas melakar dua kemenangan serta satu penamat podium tempat kedua. – AGENSI