PETALING JAYA – Semakin menjadi-jadi. Selepas Aliff Syukri dituduh ‘memondan’ dalam sebuah muzik video (MV) raya, seorang lagi usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tidak mahu kalah apabila meluncurkan MV yang menonjolkan golongan lelaki berpakaian wanita atau drag queen.
Video muzik lagu raya yang diberi judul Muah Muah Raya berkenaan mendapat kecaman hebat netizen yang menyifatkannya sudah menyimpang jauh dari landasan sebenar Islam dan makna Aidilfitri.
Sungguhpun begitu, biarpun MV arahan Kel Wen itu dikutuk, ramai dalam kalangan peminat yang mengakui bahawa lagu nyanyian Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman sebenarnya merupakan sebuah lagu hari raya yang enak didengar dan mudah melekat di minda.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terang-terang berhalkum ulat bulu-ulat bulu itu. Tolong saman,” coret seorang netizen dalam hantaran status terbaharu Instagram Vida, 51.
Seorang netizen lain meninggalkan komen berbunyi sarkastik yang memberi bayangan bahawa Vida seperti hantu yang tidak serik-serik terlepas di bulan Ramadan: “Terkejut kita awak. Ingatkan bulan puasa kena ikat, lepas juga ya.”
Dalam ruangan komen YouTube, ramai juga memuji kualiti lagu ciptaan Amy Ukays dan Vida sendiri itu.
“Lagu dah sedap dah. Kalau buat MV tradisional dengan anak-anak atau staf mesti seronok,” katanya.
Sama nasib dengan Aliff, Vida juga dilabel sebagai ejen mempromosi golongan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Menakutkan akhir zaman apabila tiada ilmu sehingga tanpa sedar mempromosi LGBT. Penari-penari pondan, bertatu, menunjuk perut pusat.
“Berpakaian menyerupai wanita dan sebagainya. Nauzubillah semoga kita dan keluarga dilindungi dari fitnah akhir zaman,” tulis seorang netizen dalam YouTube.
Terdahulu, Aliff Syukri dikecam hebat orang ramai sehingga ada seorang penyanyi yang menyifatkan dirinya sengaja ingin memondan dalam MV Kelepok Raya.
Terkesan dengan komen yang ditinggalkan selebriti itu, Aliff, 35, meminta individu terbabit agar menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Gagal berbuat demikian, Aliff tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang iaitu mengenakan saman RM1 juta. – KOSMO! ONLINE