PETALING JAYA- Mana-mana individu yang mengubah suai kenderaan dengan mengaplikasikan penggunaan strobe light atau beacon tanpa kebenaran pihak berkuasa boleh diBkenakan tindakan undang-undang.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, larangan itu berdasarkan Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di mana hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kenderaan kastam, kenderaan polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja dibenarkan.
“Kenderaan terbabit mendapat hak laluan kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng, dan hon dua nada dengan syarat pemandu kenderaan itu tidak memandu secara merbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa.
“Pengguna jalan raya hendaklah bergerak sehampir yang boleh di sebelah kiri jalan bagi memberi laluan kepada kenderaan yang disebutkan di atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada aduan orang awam melalui TikTok berhubung penggunaan strobe light.
Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun @10langit_biru10 berdurasi 16 saat itu, sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang menggunakan strobe light bertindak membunyikan hon hingga mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberikan laluan.
Katanya, JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang pengubahsuaian menggunakan alat itu tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59. -KOSMO! ONLINE