fbpx

Banduan tidak sabar jumpa keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Napi dan Amirudin membaca al-Quran ketika masa terluang di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini. – ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Banduan-banduan di Penjara Pengkalan Chepa di sini, akan dapat menatap wajah insan tercinta apabila ahli keluarga mereka dibenarkan melawat secara bersemuka pada Aidilfitri tahun ini.

Semasa dua tahun pademik Covid-19 melanda, mereka hanya dibenarkan berhubung melalui panggilan telefon.

Kebanyakan banduan di sini tidak sabar untuk menanti tarikh 5 dan 6 Mei ini kerana itulah detik mereka dapat bertemu keluarga masing-masing.

Bagi seorang banduan Penjara Pengkalan Chepa yang dikenali sebagai Napi, 46, berkata, dia mengakui sudah lima tahun tidak bertemu mata dengan anak perempuan tunggalnya yang kini sudah berusia 12 tahun.

Menurutnya, sepanjang musim Covid-19, dia hanya dapat berbual dengan anaknya menerusi panggilan telefon, namun ia tidak cukup untuk melepas kerinduan terhadap satu-satu zuriatnya itu.

“Saya masuk ke penjara pada tahun 2014 untuk menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan rogol. Ketika itu, anak baru berusia empat tahun dan saya sudah mening­galkannya sudah hampir lapan tahun.

“Saya dan isteri bercerai selepas dua tahun saya meringkuk dalam penjara. Sebelum musim Covid-19 lagi saya sudah tidak melihat anak kandung dan berharap sangat ahli keluarga atau bekas isteri membawa dia berjumpa saya semasa bulan Syawal tahun ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Napi, banduan hanya dibenarkan untuk menggunakan interkom semasa berbicara de­ngan pelawat semasa Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun ia sudah memadai asalkan dia dapat bertemu mata dengan anaknya.

Sementara itu, seorang lagi banduan, Rosfaizal, 38, memberitahu, sebelum pandemik Covid-19, ayahnya yang tinggal di sebuah kampung di daerah ini melawatnya setiap minggu sejak dia dimasukkan ke penjara pada 2016.

Menurutnya yang juga merupakan pesalah kes rogol, ba­panya merupakan satu-satunya ahli keluarga yang mengambil berat terhadapnya yang menjalani hukuman penjara selama 16 tahun dan enam sebatan.

“Sejak dua tahun lalu, saya hanya berhubung dengan bapa melalui panggilan telefon. Dia berjanji untuk datang melawat saya pada bulan Syawal ini. Saya berharap dia dapat tunaikan janji itu kerana sejujurnya saya amat merinduinya,” katanya sebak.

Seorang lagi banduan, Amirudin, 33, berkata, dia meringkuk dalam penjara ketika usianya baru 23 tahun selepas didapati bersalah kerana terlibat dalam kes samun dan dihukum penjara selama 16 tahun dengan lima sebatan.

Menurutnya, semasa dihumban ke penjara, dia meninggalkan dua orang anak yang ketika itu berusia dua tahun dan setahun bersama isterinya yang kemudian mereka bercerai pada 2015.

“Kali terakhir saya bertemu dua orang anak pada Program Jalinan Kasih pada tahun 2019. Selepas itu, saya hanya berkomunikasi dengan mereka melalui panggilan telefon selama 30 minit yang dibenarkan oleh pihak penjara.

“Sejujurnya, saya tidak sabar untuk bertemu mata dengan anak-anak. Hampir tiga tahun kami tidak bersua muka dan saya berharap segala urusan dipermudahkan pada tahun ini,” katanya.

Seorang banduan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mazida, 33, memberitahu, dia bersyukur apabila masih mendapat sokongan daripada suami dan dua anaknya berusia 5 dan 7 tahun meskipun meringkuk dalam penjara sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia yang dahulunya merupakan penjawat awam dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu.

Menurutnya, sebagai seorang ibu, dia amat merindui dua orang anaknya yang kini dijaga oleh suami sepanjang dia menjalani hukuman di penjara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI