GEORGE TOWN – Pengguna di Pulau Pinang dikatakan terpaksa mencari bekalan ayam standard di lebih tiga lokasi sekitar pasar awam di daerah ini semata-mata untuk membeli seekor ayam sejak Isnin lalu.
Ada dalam kalangan mereka mendakwa terpaksa memandu jauh lebih empat kilometer dari kediaman bagi mendapatkan hanya seekor ayam standard sekitar pukul 10 pagi.
Kebiasaannya, bekalan barangan basah itu masih terjual sehingga pukul 12 tengah hari, mengikut ketetapan operasi perniagaan di pasar awam.
Seorang pelanggan, Nor Hayati Ilyas, 57, berkata, dia jenuh mencari bekalan ayam standard di tiga buah pasar awam di daerah Barat Daya di sini sejak pukul 10 pagi semalam.
“Ramai pengusaha ayam terutama peniaga Muslim memaklumkan yang bekalan itu habis dijual sekitar pukul 8.30 hingga 9 pagi tadi (semalam).
“Jenuh juga hendak mencari bekalan ayam di pasar awam. Yang tinggal pun adalah bekalan ayam yang dipasarkan peniaga Cina atau di pasar raya besar mahupun syarikat peruncitan.
“Sudahlah raya hampir dekat, bekalan ayam pula sukar diperolehi dan tidak mencukupi. Bukan setakat itu, sebelum ini juga tempahan boleh dibuat lebih awal atau hanya menerusi telefon bimbit tetapi kali ini, kami pula kena datang secara walk in selain kena beratur panjang tunggu giliran,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Sharipah Ali, 45, pula memberitahu, dia lebih selesa membeli bekalan ayam standard di pasar awam berbanding di pasar raya atau kedai terutama yang diselia warga asing.
“Saya lebih rela membeli barangan keperluan itu di pasar awam dengan sanggup memandu jauh semata-mata mahu mendapatkan bekalan ayam yang dijamin halal daripada pengusaha tempatan,” ujarnya yang berjaya memperoleh seekor ayam standard di pasar awam Bayan Lepas sekitar pukul 10.50 pagi semalam.