fbpx

Doa penutup Ramadan Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

SAAT artikel dinukilkan, penghias sampul depan sisipan hiburan hari ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama pengurusnya, Rozi Abdul Razak serta kakak ipar Siti, Datuk Zaiton Mohd. Jiwa sedang berada di Tanah Suci mengerjakan ibadah umrah.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin ketika ditemui HibGlam pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikan dirinya sebagai duta jenama Binary University, dua hari sebelum berangkat menjadi tetamu Allah, langsung tidak membuka mulut tentang perancangannya hendak ke Mekah dan Madinah bagi urusan tersebut.

SITI NURHALIZA turut mendoakan agar semua orang dipermudahkan urusan termasuk melibatkan kes adik Bella yang menjadi tumpuan seluruh negara. – UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Tetamu Allah bulan Ramadan

Hanya ketika para wartawan selesai menemu bual dan sedang beransur pulang, salah seorang daripada kami terdetik untuk bertanya tentang perihal umrah dan bergegas mencari Rozi untuk mendapatkan pengesahan.

Siti, 43, akan menghabiskan baki minggu terakhir Ramadan di Tanah Suci dan pulang ke tanah air sebelum menjelangnya Aidilfitri.

Berpeluang menjadi tetamu Allah pada bulan suci, pelantun lagu Lip Lap Raya itu dalam satu hantaran media sosial memohon orang ramai dan peminat mendoakan kesejahteraan dan kelancaran urusan ibadahnya.

“Ya Allah, kepada-Mu aku memohon dan bertawakal. Ya Allah, permudahkanlah urusanku, senangkanlah kesusahan perjalananku.

“Berikanlah rezeki kepadaku lebih banyak daripada yang aku minta, jauhkanlah daripadaku segala keburukan.

“Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu dan peliharalah diriku, agamaku, keluargaku, kerabatku dan nikmat-nikmat yang sudah Engkau berikan kepadaku serta pada mereka dalam hal dunia akhirat dan dunia.

“Hindarilah kami semua daripada segala keburukan, wahai Tuhan yang Maha Mulia,” coretnya menerusi Instastory.

Kali terakhir Siti menunaikan umrah adalah pada 2019 bersama suami, anak dan pengasuhnya dan kali ini, beliau dijangka kembali ke tanah air sebelum menjelang Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi.

DIKRITIK lagu Lip Lap Raya sebagai ‘tangkap muat’, Siti tidak melatah. Beliau sebaliknya percaya setiap orang ada pendapat masing-masing, namun pada sama beliau menjanjikan yang terbaik pada masa akan datang.

Sedondon tiga pasang baju

Berbicara tentang sambutan Aidilfitri kali ini, Siti berkata, sama seperti tahun-tahun sebelumnya hari kemenangan umat Islam itu tetap disambut meriah, namun kali ini dijangka lebih memberi keseronokan daripada kebiasaan selepas dua tahun terhalang disebabkan pandemik Covid-19.

“Tahun lepas, satu baju raya sahaja saya tempah untuk ambil gambar raya pertama. Tahun ini dah ada Afwa dan Aafiyah. Kita juga sudah boleh ziarah-menziarahi, jadi saya tempah dalam tiga pasang baju sahaja.

“Afwa dah boleh berjalan dan kita dah boleh gayakan dia sikitlah kan. Kalau semasa bayi, dia bangun, tidur macam itu sahaja kan. Sekarang boleh ajak main dan aktif sikit. Dah ada boleh pakai baju Melayu.

“Sedondonlah tahun ini. Datuk K pilih warna merah jambu carnation, terkejut saya dia pilih warna itu.

“Satu lagi baju warna hijau ‘moss’. Saya pilih. Satu lagi warna saya tak pasti lagi warna apa sebagai pereka fesyen yang seorang itu buatkan. Apapun, tak kisahlah yang penting bersama dengan keluarga tersayang.

“Raya pertama barangkali sahaja ambil gambar berada di rumah. Raya kedua baru beraya pergi rumah sanak-saudara,” katanya.

Ditanya tentang rencana pulang berhari ke kampung halaman iaitu di Kuala Lipis dan Kedah (belah suami), jawab Siti:

“Kami akan pulang ke kampung tapi masih tak tahu raya ke berapa. Beri peluang dahulu siapa yang lama tak balik kampung untuk ‘gerak’ dahulu.

“Takut nanti tersekat dalam lalu lintas semua dan ada anak kecil ini, susah sikit.

“Orang lain pun ada anak kecil cuma saya boleh ada pilihan. Ibu mentua pun tinggal sekali dengan saya, jadi, tak rushing nak balik kampung sangat.

“Tapi kebiasaannya balik kampung dalam dua tiga hari macam itu. Mungkin akan balik Kedah dulu dan mungkin juga balik Kuala Lipis dulu.

“Tak tahu mana satu. Semua bergantung kepada keadaan,” jelasnya.

DILANTIK sebagai duta jenama Binary Universiti, Siti tidak menolak kemungkinan jika suatu hari nanti terbuka hati untuk menyertai kolej berkenaan sebagai seorang pelajar.

Isu Lip Lap Raya

Sementara itu, ditebak persoalan tentang isu yang dibangkitkan para peminat berhubung kualiti teknikal lagu raya terbaharunya, Lip Lap Raya, Siti tidak melatah mahupun melenting dengan kritikan peminat.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berlapang dada dengan segala kritikan yang disuarakan para peminat dan percaya, perihal tersebut disuarakan adalah demi kebaikan bersama.

“Bagi saya, bagus ada yang memberi respons. Itu bermakna, mereka ambil berat dengan nyanyian dan hasil yang dibikin.

“Jadi, tak mengapa kalau para peminat nak memberikan komen mereka dan sebagainya. Bagus untuk kita juga sebab kalau ada apa yang kurang, selepas ini kita boleh perbaiki. Tapi yang penting, mereka suka lagu Lip Lap Raya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas pelantun lagu Biarlah Rahsia itu lagi, penghasilan lagu raya yang diluncurkan tersebut sudah menjalani proses perbincangan menyeluruh dengan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.

“Apa pun produk yang dihasilkan, kita sudah berbincang dan kita sama-sama sepakat dengan hasil akhirnya.

“Normal untuk orang komen dan memberikan pendapat. Mana yang suka, alhamdulillah. Mana yang tak suka, mesti ada bahagian yang mereka rasa boleh jadi lebih bagus.

“Suarakan sajalah pendapat kalian tapi apa yang boleh saya kata di sini, kami yang menjalin kerjasama dengan pihak profesional seperti Universal, kami memang dah capai kata sepakat,” katanya.

Tambah Siti, sebagaimana rasa prihatin peminat demi kelangsungan kerjayanya, begitu juga rasa hormat dan apresiasi dikembalikan kepada mereka.

“Mereka (peminat) ambil berat. Kita nak marah, kita sabar. Nak cakap lebih, kita bersabar sahajalah. Mereka prihatin sampai saya rasa kalau boleh, konsep album pun mereka nak tentukan. Semualah mereka nak buat.

“Orang masih ambil berat, sayang dan akui bakat seni saya. Kalau mereka tak sayang, mereka mungkin akan fikir, ‘lantak pi lah Siti nak buat apa pun kan’,” ujarnya tersenyum.

Terdahulu, lagu raya terbaharu Siti, Lip Lap Raya ciptaan Ajay Mai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan itu mendapat respons positif dalam kalangan peminat.

Sungguhpun begitu, ada dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati dari segi kualiti teknikal seperti single cover art lagu tersebut yang dikatakan seperti ‘tangkap muat’ dan tidak menepati piawaian dirinya sebagai penyanyi paling berpengaruh tanah air. Terdapat juga pihak mendakwa muzik video lagu tersebut meniru idea video penyanyi popular, Adele.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI