fbpx

Emosi hidup pesakit kanser dalam lagu Zul Ariff, Kamal Hamidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI duo, Zul Ariff (gambar kanan) dan Kamal Hamidi tampil dengan sebuah lagu raya berjudul Sama Sama Raya.

KEHADIRAN dua orang penyanyi yang mungkin masih asing dalam industri, Zul Ariff dan Kamal Hamidi bukan berpaksi atas keghairahan memburu populariti mahupun bersaing.

Tetapi kemunculan kedua-dua penyanyi itu hanyalah untuk memeriahkan industri seni tempatan serta menjadikan platform nyanyian sebagai medium berkongsi bakat.

Pernah mengeluarkan beberapa single solo sebelum ini, mereka kini tampil dengan projek istimewa sebagai penyanyi duo menerusi peluncuran lagu Cinta Semalam pada Januari lalu.

Istimewanya, lagu berkenaan yang mendapat sentuhan Ilusinasi dan Ariff sendiri berkisar tentang perjalanan hidup penghidap kanser.

Ditanya soal pemilihan konsep lagu berkenaan yang mengisahkan tentang kanser, ternyata penyakit tersebut ada kaitan dengan kisah hidup Ariff dan juga Kamal.

Ariff sebenarnya merupakan pejuang kanser selepas didiagnosis dengan kanser darah pada 2015, namun dia bernasib baik kerana disahkan bebas barah berkenaan pada awal tahun ini.

“Meskipun sudah sembuh tetapi saya tetap kena makan suplemen serta ubat-ubatan. Malah saya masih perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan sekali.

“Mujurlah penyakit saya tidak sampai tahap kena jalani rawatan kemoterapi tetapi hanya bergantung dengan ubat-ubatan.

“Sepanjang bergelut dengan penyakit ini, saya hanya maklumkan kepada keluarga tentangnya pada 2018. Sebab tak mahu orang simpati dan tengok saya sakit,” katanya ketika ditemui pada majlis santai iftar bersama media baru-baru ini.

Sementara bagi Kamal sendiri, dia bukanlah seorang pesakit kanser seperti Ariff, namun hidupnya diuji dengan kehilangan ibu tercinta akibat barah hidung pada 2011.

“Ariff melalui sendiri pengalaman ada kanser tetapi saya pula merasai momen menjaga arwah ibu selama dua tahun sebelum dia meninggal dunia.

“Jadi kami ambil pengalaman masing-masing dan ceritakan dalam lagu Cinta Semalam. Alhamdulillah, walaupun baru beberapa minggu dilancarkan tetapi lagu tersebut mendapat sambutan menggalakkan,” kata Kamal.

Selepas melihat sambutan lagu Cinta Semalam yang kini mendapat lebih 180,000 tontonan dalam YouTube sejak dilancarkan pada 21 Januari lalu, penyanyi duo itu kemudian terus mengorak langkah dengan meneruskan projek khas sempena raya.

Ariff dan Kamal meluncurkan sebuah lagu raya berjudul Sama Sama Raya yang mendapat sentuhan Shazee Ishak dan Audi Mok pada 15 April lalu.

Ironi, projek duo antara mereka tercetus hanya sekadar suka-suka ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga sebelum ini.

“Lagu Cinta Semalam merupakan projek duo pertama daripada kami selepas masing-masing pernah meluncurkan dua buah single solo sebelum ini. Waktu PKP3.0, kami fikir kenapa tidak buat kelainan dengan tampil berdua.

“Setakat ini, perancangan kami tentang projek duo memang akan diteruskan. Nama duo ada iaitu gabungan huruf nama kami, ZAKH tetapi belum rasmi. Insya-Allah selepas raya akan ada projek duo lain yang sudah dirancang,” ujar Ariff.

Video lirik lagu Sama Sama Raya boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI