Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SABAK BERNAM – Usaha dua tekong darat yang merupakan pemandu teksi menyeludup masuk 28 asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia gagal selepas dicekup di sekitar pesisiran pantai Sungai Apong di sini, semalam.
Kesemua mereka berusia 20 hingga 59 tahun itu ditangkap pukul 6 pagi menerusi Op Benteng Covid oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, kedua-dua tekong tersebut merupakan warga Indonesia yang bertaraf penduduk tetap berusia 50 dan 59 tahun.
Katanya, mereka bertindak menjadi pengangkut warga asing yang didaratkan di pesisir pantai sungai tersebut.
“Hasil siasatan mendapati semua Pati itu masuk melalui laluan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot pom-pom.
“Kita turut merampas dua teksi jenis kenderaan pelbagai guna dengan nilai keseluruhan rampasan RM35,000, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah hasil pemeriksaan mendapati PATI yang ditangkap melibatkan masing-masing 14 lelaki dan perempuan.
Zulafendy menegaskan kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. -K! ONLINE