fbpx

Tukang rumah mengaku salah rogol anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun 8 bulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya antara Januari 2020 hingga minggu lalu.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Hakim Norhayati Mohd. Yunus, tertuduh berusia 35 tahun didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak perempuan iaitu anak tirinya berusia 11 tahun 8 bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di sini antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menerusi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 30 Mei depan sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

Dalam pada itu, di hadapan Hakim Noorhayati, isteri tertuduh berusia 40 tahun mengaku bersalah mengabaikan mangsa sama yang merupakan anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh dan tempat yang sama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI