Oleh MOHD RAFIE AZIMI
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan antara 55 individu yang melakukan ujian saringan Covid-19 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memberitahu, ujian saringan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kehadiran seorang individu disahkan positif Covid-19 dalam majlis dihadiri Muhammad Sanusi pada 14 September lalu.
“Selain Menteri Besar, ujian saringan turut dilakukan terhadap dua Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Dr. Mohd Hayati dan Wan Romani Wan Salim.
“Beberapa kakitangan Pejabat Menteri Besar bersama pimpinan Pas negeri yang terlibat dalam majlis itu turut disaring,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, siasatan mendapati Muhammad Sanusi serta kesemua individu disaring bersamanya hari ini tidak termasuk dalam senarai kontak rapat dengan individu disahkan positif tersebut.
Kata beliau, definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 bermaksud individu yang berada pada jarak satu meter atau lebih rapat dalam tempoh lebih 15 minit.
“Dalam kes ini, Menteri Besar didapati tidak termasuk dalam kategori itu.
“Maka tidak ada halangan baginya turun padang termasuk menyempurnakan tanggungjawab termasuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Zon Melor dekat Ambangan Heights, Sungai Petani hari ini,” katanya.
Tambahnya, saringan dijalankan itu sekadar ujian komuniti atau ujian pengawasan yang tidak memerlukan mereka dikuarantin mahu pun dipakaikan gelang merah jambu.
“Kesemua mereka masih perlu mengamalkan norma-norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 10 wartawan dan jurugambar yang bertugas membuat liputan pada majlis sama menjalani ujian saringan itu pada semalam. – K! ONLINE