KOTA BHARU – Ops Selamat ke-18 yang dilancar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan bertujuan mencari atau menahan pesalah trafik tetapi ia lebih kepada mendidik pengguna jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, pihaknya menyangkal dakwaan setengah pihak bahawa operasi itu termasuk penggunaan alat pengesan had laju (In-Car Radar) Sistem Kompaun Dalam Talian Pintar (iCOPS) bertujuan menahan pesalah.
“Pelancaran Ops Selamat selama l0 hari bermula esok bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Ia juga bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar. Sekiranya pengguna jalan raya melakukan kesalahan, mereka tetap akan disaman apabila kita dapat mengesannya dengan mengunakan lima alat iCOPS dan In-Car Radar yang dipasang di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.