fbpx

Lebih banyak taufan pada 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berdiri di dalam rumahnya yang musnah akibat dibadai taufan Rai di Pulau Siargao, Filipina pada 22 Disember 2021. – AFP

AMSTERDAM, BELANDA – Saintis-saintis memberi amaran bahawa fenomena perubahan iklim akan menyebabkan bilangan taufan dan puting beliung  yang merupakan  ribut  paling dahsyat di Bumi, bertambah lebih dua kali ganda menjelang tahun 2050, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Kajian mengenainya disiarkan dalam jurnal Science Advances. Saintis-saintis mentakrifkan ribut kuat sebagai  taufan kategori 3 dengan kelajuan angin 178-209 kilometer sejam atau lebih tinggi.

Menurut kajian berkenaan, ribut sedemikian dijangka meningkat dalam dekad akan datang yang akan menjejaskan lebih ramai penduduk di rantau paling terdedah di seluruh dunia.

Kata mereka, kelajuan angin taufan akan datang  boleh bertambah sehingga 20 peratus, manakala kekerapan bagi ribut kategori 4 dan 5 pula akan meningkat secara luar biasa iaitu melebihi 200 peratus di sesetengah rantau.

“Hasil kajian ini meramalkan bahawa rantau-rantau yang pada masa ini berisiko (amat) rendah dilanda ribut kuat akan mula terjejas oleh siklon tropika akibat fenomena perubahan iklim.

“Kami terkejut  melihat jumlah tidak seimbang melibatkan negara membangun yang berisiko berdepan impak perubahan iklim di masa hadapan,” kata saintis iklim dari  Universiti Amsterdam, Nadia Bloemendaal.

Kajian tersebut turut mendapati rantau sekitar Hong Kong dan sebahagian kawasan di Pasifik Selatan  paling berpotensi mengalami peningkatan dalam kejadian ribut kencang.

Tokyo yang  merupakan kawasan metropolitan terbesar dunia dan didiami sekitar 38 juta penduduk contohnya, mempunyai kebarangkalian 4.6 peratus setiap tahun untuk dilanda ribut kencang. Saintis-saintis  menjangkakan kadar itu boleh meningkat sehingga 13.9 peratus.

Menurut Bloemendaal, keadaan itu antaranya disebabkan oleh peningkatan suhu permukaan laut di seluruh dunia.

“Suhu air laut menjadi panas dengan  pantas sejak beberapa dekad lalu disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil. Apabila suhu air laut semakin panas, ia akan mewujudkan lebih banyak tenaga untuk  ribut menjadi bertambah kuat,” jelasnya.

Kajian  sama mendapati wilayah yang tidak berpotensi mengalami peningkatan kadar siklon tropika pada masa akan datang hanyalah Teluk Mexico dan Teluk Benggala.

“Kajian kami mendapati bahawa kekerapan ribut kuat kekal tidak berubah di kawasan tersebut disebabkan  atmosferanya akan menjadi kurang sesuai untuk ribut tropika pada masa akan datang,” kata Bloemendaal.

Bloemendaal juga berkata,  taufan menyebabkan kerugian  wang tunai yang lebih besar berbanding bencana alam lain.

Dalam tempoh 10 tahun lalu sahaja, Amerika Syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$480 bilion (RM2 trilion) akibat ribut tropika dan taufan.

“Justeru,  penting untuk kita dapat meramalkan bilakah bencana ribut kuat akan berlaku pada masa akan datang dan lokasi yang paling berisiko terdedah kepada peningkatan siklon tropika. 

“ Ini supaya kerajaan  tempatan dapat mengambil langkah tertentu bagi mengurangkan risiko di wilayah masing-masing supaya kemusnahan dan angka korban dapat dikurangkan,” kata Bloemendaal. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI