SEGAMAT – Seorang wanita mengambil peluang menjual kelongsong ketupat ketika ramai generasi kini tidak tahu menganyamnya sebagai mata pencarian tambahan dan persediaan menyambut Aidilfitri.
Sarimah Alias, 55, berkata, sejak 15 tahun lalu, dia dan suaminya, Amir Hamzah, 58, akan sibuk untuk menjual pelbagai jenis daun ketupat palas dan kelongsong ketupat yang siap dianyam.
Katanya, mereka sangat mahir menganyam ketupat bawang dan sate serta mampu menyiapkan sehingga 5,000 kelongsong dalam tempoh sebulan sebelum ketibaan Aidilfitri.
“Kami buka tempahan melalui online atau walk-in untuk menjual pelbagai jenis daun dan keperluan yang biasa digunakan untuk membuat hidangan hari raya.
“Untuk 10 kelongsong, kami jual RM10 bergantung pada saiz. Kami juga ada menjual pucuk daun kelapa, daun palas, daun pisang hutan bagi kegunaan membuat lemang,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Awam di Bandar Segamat di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Zaharah Mohd. Tumin, 30, dari Kampung Paya Pulai mengakui memang tidak ramai generasi kini yang mampu menganyam ketupat ketika ini.
Zaharah berkata, dia mempelajari teknik menganyam ketupat dalam talian sejak dua tahun lalu.
“Sepanjang Ramadan ini, saya menumpukan untuk menganyam ketupat bawang namun membuat permintaan dari kenalan sahaja.