JOHOR BAHRU – Dianggarkan lebih satu juta kenderaan dijangka akan memasuki negeri ini termasuk melalui pintu sempadan Johor-Singapura sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada minggu depan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu membabitkan kenderaan yang memasuki negeri ini bagi tujuan pulang ke kampung, aktiviti kunjung-mengunjung selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri.
Beliau berkata, keadaan dijangka sesak apabila kenderaan dari Kuala Lumpur dan negeri lain yang masuk ke negeri ini bertembung dengan kenderaan masuk dari Singapura.
“Ketika ini 70,000 orang dengan melibatkan 35,000 kenderaan dari negara jiran itu masuk setiap hari dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.
“Jumlah maksimum kenderaan dari Singapura adalah 400,000 sehari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat Hari Raya Aidilfitri ke-18 di Plaza Tol Skudai, dekat sini hari ini. – KOSMO! ONLINE