REMBAU – Seorang wanita terpaksa mengikat perut apabila hanya mempunyai RM500 sebulan untuk dibelanjakan selepas suami yang diharapkan untuk mencari nafkah kini terlantar selepas kakinya dipotong akibat kencing manis.
Rabitah Musa, 50, berkata, wang itu diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas suaminya, Mohd. Saleh Nasir, 69, dikategorikan sebagai orang kelainan upaya.
Katanya, dia perlu membayar sewa rumah RM100 sebulan dan bersyukur kerana tuan rumah akan menghulurkan sumbangan barang dapur sekiranya pulang ke kampung.
“Suami sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tetapi kini terlantar akibat sakit kencing manis kronik sejak setahun lalu. Saya kuatkan semangat menjaga suami yang dinikahi sejak 2005.
“Mulanya kaki kiri suami sakit dan berdarah. Bila disapu ubat, keadaan makin melarat sebelum doktor nasihatkan supaya dipotong,” katanya ketika ditemui di Kampung Gadong di sini semalam.
Menurut Rabitah, selain sewa dan barangan dapur, dia juga perlu membelanjakan sebahagian wang untuk membeli lampin pakai buang serta susu khas.
Tambahnya, bagi mengurangkan beban kewangan, dia menanam beberapa jenis sayuran di rumah sewa berkenaan untuk kegunaan sendiri.
“Namun, tidak banyak yang boleh dibuat kerana saya pun tidak sihat kerana kaki lemah. Mujur suami tak susah dijaga kerana telah belajar cara hendak turun katil ke kerusi roda,” katanya yang sudah 13 tahun menetap di situ.
Ujar Rabitah, dia cuma risau jika suaminya terjatuh ketika hendak turun katil.
“Kami ada juga terima sumbangan daripada pemimpin setempat seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kota, Muhammad Allif Ibrahim.
Sementara itu, Muhammad Allif berkata, pihaknya kini dalam usaha memohon bantuan Baitulmal buat pasangan suami isteri berkenaan memandangkan kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan serta tidak dapat bekerja lagi.
Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0511741000020303 atas nama Rabitah.