Jutaan warga kota mula pulang ke kampung hari ini untuk beraya sakan selepas dua tahun tidak dapat menyambutnya bersama ibu bapa serta adik-beradik akibat pandemik Covid-19.
Mulai hari ini juga, Ops Selamat 18 sempena Aidilfitri berkuat kuasa sehingga 8 Mei ini dengan fokus utama untuk memastikan aliran trafik lancar dan memastikan harta benda atau premis kediaman selamat.
Di sebalik keterujaan anak perantau untuk pulang ke kampung, jangan pula membuat atau menambah lagi ‘dosa-dosa’ di atas jalan raya dengan melanggar peraturan trafik.
Harus diingatkan terdapat enam kesalahan utama yang tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu diselesaikan kes itu di mahkamah sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 18.
Enam kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Kesemua kesalahan ini sememangnya ‘popular’ dilakukan dalam kalangan pemandu Malaysia tanpa mengira musim perayaan atau tidak.
Namun kali ini, mereka perlu berfikir dua atau tiga kali jika masih mahu ingkar peraturan jalan raya kerana denda yang bakal dikenakan mungkin lebih tinggi berbanding kadar kompaun maksimum RM300.
Jangan fikir anda mempunyai duit RM10,000 hasil Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda mampu untuk membayar denda yang lebih tinggi di mahkamah.
Sepanjang Ops Selamat 18, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat banyak ‘mata-mata’ pihak berkuasa di atas jalan raya.
Mereka ialah rakyat Malaysia yang telah bersedia berkongsi video atau gambar berkaitan kesalahan trafik kepada PDRM dan JPJ selain tular di media sosial.
Perlu diingatkan juga, bagi individu yang mempunyai saman tertunggak, segera buat bayaran kerana takut-takut nanti terpaksa membayar saman di atas lebuh raya.
Walaupun ramai rakyat telah membayar saman dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada Disember tahun lalu, mereka masih perlu membuat semakan melalui mybayar.rmp.gov.my.
Kita mungkin telah melakukan lagi ‘dosa-dosa’ di atas jalan raya tanpa disedari terutamanya saman ekor.
Bagi individu yang memiliki waran tangkap, kes sebegini lebih berat kerana anda dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut, sekali gus menyebabkan kepulangan ke kampung terganggu.
Justeru, bayar segera saman tertunggak dan elak daripada melakukan lagi kesalahan trafik. Sayangilah duit simpanan hari tua anda untuk kegunaan yang lebih berfaedah daripada membayar denda ratusan ringgit.
Lebih penting, jangan sampai ‘dosa-dosa’ kita melanggar peraturan jalan raya ketika memandu boleh menyebabkan pengguna lain pula terbunuh.
Isteri menjadi janda, suami menjadi duda dan anak-anak menjadi yatim piatu.