IPOH – Tiga pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan Jun tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53; dan Mohd. Khairumin Sahdan, 35, juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan setelah ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Kesemua tertuduh yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang Perak, JPJ Perak telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29.
Suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41, bagi kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perbuatan itu dilakukan mereka di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta di antara pukul 10 pagi hingga 1.10 tengah hari, 6 Jun 2021.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- KOSMO ONLINE