BARU-BARU ini muka depan akhbar Kosmo! melaporkan mengenai 25 artis menerima tawaran pemilikan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) hasil inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin.
Bantuan fasa pertama tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu penggiat seni tanah air yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
Meskipun ramai yang rasakan agak terlewat, namun bagi penulis inisiatif berkenaan suatu anjakan baharu pihak-pihak berkaitan dalam membela nasib golongan artis.
Selama ini, umum melihat golongan artis yang berada dalam dunia glamor sebagai golongan yang kaya, mempunyai kehidupan selesa dan tiada masalah kewangan.
Jika menonton di televisyen, mereka bukan sahaja bergaya dengan pakaian dan aksesori yang mahal serta tinggal di rumah besar. Namun, di sebalik itu semua, mereka adalah manusia biasa perlu menyara kehidupan dengan bayaran hasil lakonan yang tidak seberapa.
Kalau dapat watak utama besarlah bayarannya, tetapi jika sekadar watak orang gaji atau pelakon sampingan yang muncul cuma dua tiga babak, saya pasti mereka terdiri dalam golongan ‘kais pagi makan pagi’.
Tekanan bukan sekadar itu, sebahagian besar mereka juga terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk terpilih dalam satu-satu drama bagi mengisi slot di
mana-mana saluran di negara kita ini.
Faham sahajalah, berapa sangat saluran televisyen yang kita ada. Jika buka rancangan televisyen pun suatu ketika penuh dengan drama yang diimport dari Indonesia. Tidak kurang dari Filipina.
Sekarang sedikit demi sedikit drama Korea pula semakin mengisi slot di televisyen kita.
Nasib sebilangan artis di negara kita juga sama seperti golongan peniaga kecil, penjaja termasuk pemandu e-hailing apabila membuat permohonan pinjaman bank untuk membeli kereta atau rumah.
Ketiadaan pendapatan tetap menyebabkan permohonan mereka biasanya ditolak sekali gus menutup peluang untuk memiliki dan mendiami rumah sendiri berbanding orang lain.
Masa silih berganti. Dahulu ketika muda, mereka masih cantik dan sering mendapat tawaran berlakon, tetapi apabila menginjak usia, tahap kesihatan juga merosot apa lagi pekerjaan yang boleh dilakukan.
Sedangkan pada usia seperti itu, mereka masih memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan baik perbelanjaan makan minum, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal.
Jelas, dunia glamor sementara yang dilalui seolah-olah dipenuhi dengan cerita duka berbanding dengan watak yang dibawakan oleh sebahagian pelakon di skrin televisyen.
Realitinya adalah ‘drama kehidupan’ yang kita lalui hari ini perlukan perancangan supaya hari-hari mendatang dapat ditempuhi dengan lebih sempurna dan bermakna.
Insya-Allah berkat kegigihan dan keikhlasan, kita pasti mampu merangkul ‘anugerah’ yang tidak ternilai harganya suatu masa kelak.