PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R.Sri Sanjeevan untuk mendapat kebenaran merayu hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 atas pertuduhan memeras ugut seorang pekerja kedai di Pahang sembilan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan permohonan Sanjeevan ,38, selaku pemohon.
“Permohonan kebenaran pemohon untuk merayu hukuman dibenarkan dan pemohon (Sanjeevan) perlu memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini, ” kata hakim Kamaludin.
Oleh kerana kes itu pada asalnya bermula di Mahkamah Majistret, Sanjeevan perlu mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada masa sama mahkamah turut membenarkan permohonan untuk penangguhan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar.
Sekiranya Mahkamah Rayuan hari ini tidak memberi kebenaran kepada Sanjeevan untuk rayuan hukuman, pemohon akan dipenjara serta-merta.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim manakala Sanjeevan diwakili peguam Datuk V. Sithambaram, S. Preakas dan Miguel Sequerah.
Mengikut pertuduhan, Sanjeevan didakwa memeras ugut seorang pekerja kedai lelaki dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan.
Kesalahan itu dilakukan pukul 9.45 malam pada 1 Julai 2013 di Jalan Dagangan 8, Pusat Dagangan Triang, Bera, Pahang yang didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.
Pada 14 Ogos 2018 Sanjeevan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang selepas didapati bersalah atas kesalahan itu.
Pada 27 November 2020, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Temerloh. Pada 4 Disember 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.- KOSMO! ONLINE