fbpx

Penduduk Kampung Tok Muda siap sedia hadapi air pasang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nikman (kanan) sedang mengumpul dokumen penting bersama anaknya sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda esok di Kampung Tok Muda, Kapar.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Penduduk Kampung Tok Muda, Kapar di sini, mula membuat persiapan rapi bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di kawasan itu selama dua hari bermula esok.

Tinjauan Kosmo! mendapati mereka mengemas barangan dan dokumen bagi menghadapi kemungkinan kediaman mereka dinaiki air.

Ketua Kampung Tok Muda, Shamsuddin Liman berkata, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah memberi hebahan kepada penduduk berhubung fenomena itu menerusi media sosial.

“Selain taklimat simulasi dengan pelbagai agensi kerajaan, kami meminta semua penduduk sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir.

“Rata-rata mereka memang telah bersedia kerana air pasang besar adalah fenomena bermusim pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Kampung itu antara 11 lokasi berisiko di daerah ini yang menghadapi fenomena air pasang besar selain Pelabuhan Klang, Pulau Ketam dan Pelabuhan Utara.

Dalam pada itu, penduduk, Nikman Mokhsin, 42, memberitahu, kejadian paling teruk pernah dialaminya adalah pada tahun 2016.

“Sekiranya ban sedia ada di kampung ini pecah, air akan terus melimpah dan mengakibatkan banjir. Jadi, kena siap sedia,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang berkata, pihaknya dan beberapa agensi kerajaan lain akan menjalankan pemantauan rapi di kawasan ban dan pantai bermula pukul 6 pagi esok.

“Jika paras air setinggi 5.7 meter itu berpotensi melimpah dan mengakibatkan banjir, kami akan terus menggerakkan aset untuk membantu dan menyelamat mangsa.

“Ia termasuk menempatkan mangsa di empat pusat pemindahan lain iaitu Dewan Serbaguna
Kampung Sungai Serdang, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dan Sekolah Rendah Agama Batu 4, Jalan Kapar,” katanya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI