fbpx

1 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang pada Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily Mohd Zain (kanan) beramah mesra dengan peniaga bazar Ramadan Bayan Baru di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang di Seberang Perai untuk menuju kawasan Utara dijangka meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu, pihak polis juga menjangka kira-kira 1 juta kenderaan akan memasuki negeri ini.

“Kita menjangkakan pergerakan kenderaan ke negeri-negeri Utara termasuk Pulau Pinang ketika Aidilfitri ini akan bermula pada Jumaat dan ramai yang akan pulang selepas dua tahun tidak dapat beraya.

“Dijangkakan sehingga 1 juta kenderaan akan masuk ke Pulau Pinang, manakala 3.6 juta kenderaan akan melalui Pulau Pinang untuk ke Kedah dan Perlis,” katanya selepas program Jelajah Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bazar Ramadan Bayan Baru di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, limpahan kenderaan dan kesesakan juga dijangka akan berlaku di beberapa lokasi di Pulau Pinang.

“Antara jalan-jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan kenderaan dan juga hotspot kes kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar (daerah Seberang Perai Utara), Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim (daerah Seberang Perai Tengah) dan Jalan Besar Simpang Ampat (KM12-KM32).

“Selain itu, antara jalan lain adalah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu-Jalan Ayer Itam dan Jalan Ayer Itam-Paya Terubong (daerah Timur Laut) serta Jalan Tun Dr Awang (daerah Barat Daya),” katanya.

Tambahnya, seramai 360 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Op Selamat ke-18 dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI