GEORGE TOWN – Enam anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan susulan kejadian seorang tahanan lelaki meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru di sini dalam kejadian tengah malam semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian itu.
“Enam anggota tersebut yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dan menyiasat kes ini mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke- 18 Polis Diraja Malaysia di bazar Ramadan Bayan Baru di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tahanan lelaki yang dikenali sebagai Azizi Mohammad Hassan, 33, ditahan atas kesalahan membabitkan dadah pada 20 April lalu.
“Suspek disedari meloloskan diri dari lokap tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam. Dia ditahan dan menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya. – KOSMO! ONLINE