KESAKITAN bertarung nyawa melahirkan zuriat buat suaminya masih lagi bersisa.
Namun, siapa sangka, tanpa belas ihsan si suami, Farhani (bukan nama sebenar) diceraikan dengan talak satu oleh suaminya hanya kira-kira seminggu selepas anak kedua mereka dilahirkan.
Percintaan yang terjalin selama lapan tahun bermula di universiti di Kuala Lumpur kemudian diikat dengan tali perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama empat tahun.
Semuanya berpunca daripada si suami yang mabuk cinta dengan isteri orang di tempat kerjanya.
Sejak awal perkahwinan pada tahun 2008, Farhani dan Azhan (bukan nama sebenar) terpaksa tinggal berjauhan.
Farhani bekerja di Lembah Klang, manakala Azhan pula bekerja di sebuah negeri di utara tanah air.
Perhubungan pasangan jarak jauh ini berlangsung dengan aman dan harmoni sebelum Azhan mula lalai dengan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa akibat mabuk bercinta.
Farhani mula berasa sangsi dengan tingkah laku Azhan apabila lelaki itu sering kali mengelak pertanyaan bila dia mahu menjenguk isteri dan anak perempuan sulung mereka.
“Ketika itu saya mengandung anak kedua, hanya dua kali dia melawat saya sepanjang saya mengandung sehingga bersalin.
“Sewaktu saya bersalin, dia tiada di sisi. Azhan tidak lagi seperti lelaki yang saya kenal dahulu. Segala tingkah lakunya penuh curiga.
“Akhirnya firasat sebagai seorang isteri ternyata benar apabila Azhan mengaku mempunyai hubungan dengan wanita lain,” katanya kepada K2.
Farhani memberitahu, selepas seminggu melahirkan anak kedua mereka yang juga seorang perempuan, dia akhirnya diceraikan dengan talak satu.
“Azhan memberi alasan dia tidak lagi mencintai saya, hatinya telah diisi seorang wanita lain.
“Dia juga memberi alasan aneh bahawa saya gagal memberikannya nafkah zahir dan batin sepanjang empat tahun kami berkahwin sedangkan kami sudah mempunyai dua cahaya mata,” katanya.
Hampir meroyan
Farhani berkata, apa yang paling dikesalkan, wanita yang dicintai Azhan juga berstatus isteri orang yang suaminya juga tinggal berjauhan.
“Mungkin sepanjang ketiadaan saya, Azhan dan wanita itu mula memadu kasih. Azhan suami orang, wanita itu juga isteri orang, perhubungan mereka yang terjalin itu atas kesengsaraan orang lain,” katanya.
Menurutnya, dia hampir meroyan kerana diceraikan, namun dengan sokongan ibu dan rakan-rakan terdekat, dia kembali bangkit.
“Saya bernasib baik kerana masih bekerja. Sebelum ini ketika masih mengandung anak kedua, saya ada menyuarakan hasrat kepada Azhan untuk berhenti kerja dan tinggal bersamanya.
“Azhan ketika itu menghalang dan memarahi saya kerana mahu berhenti kerja. Saya hairan juga sepatutnya dia menyokong hasrat saya kerana kami telah lama tinggal berjauhan. Rupa-rupanya pada ketika itu dia sedang asyik bercinta dengan isteri orang. Disebabkan itulah dia tidak mahu saya tinggal bersamanya di utara tanah air,” katanya.
Selepas sah bercerai, Farhani memfailkan pula tuntutan nafkah untuk dua anak perempuannya di mahkamah pada 2012. Hanya selepas dua tahun naik dan turun mahkamah, barulah kes tuntutan nafkah bagi kedua-dua anak perempuannya itu berjaya diselesaikan pada 2014.
“Azhan diperintahkan untuk membayar nafkah RM500 untuk setiap anaknya, walaupun tidak mencukupi dengan kadar kos yang tinggi pada masa ini, saya bersyukur kes kami dapat diselesaikan,” katanya.
Tambah Farhani, Azhan dan isteri orang yang menjadi skandalnya itu telah pun berkahwin selepas wanita itu juga bercerai dengan suaminya dan tamat tempoh edah.
“Saya dan Azhan kini hanya sebagai rakan dan ibu bapa kepada anak-anak kami. Bagi saya cinta telah tiada sejak hari Azhan menceraikan saya,” katanya.
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.