MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui agak kecewa biarpun skuad kendaliannya berjaya menewaskan Real Madrid 4-3 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, City dilihat mampu ‘menguburkan’ semangat perjuangan Real pada kempen kali ini, namun mereka hilang fokus sehingga membenarkan pendahulu La Liga bangkit pada penghujung perlawanan.
City memulakan aksi tersebut dengan cemerlang apabila berjaya mendahului perlawanan dengan dua gol dalam tempoh 11 minit melalui Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus sebelum membenarkan Real merapatkan jurang menerusi Karim Benzema pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, City terus berjaya menemui sasaran hasil jaringan Phil Foden selepas lapan minit perlawanan bermula untuk mengukuhkan kedudukan, namun ia tidak bertahan lama apabila Real meledak gol kedua menerusi Vinicius Jr. pada minit ke-55.
City kemudian terus mengukuhkan kedudukan menjadi 4-2 apabila Bernardo Silva mencetak nama sebagai penjaring gol keempat sekali gus memberi mereka bayangan untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan tersebut bagi membawa kelebihan pada aksi kedua nanti.
Bagaimanapun, impian tersebut tidak kesampaian apabila Benzema meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-82 apabila menyudahkan sepakan penalti menyebabkan Guardiola agak terkilan biarpun menang.
“Bagi saya, hari ini merupakan perlawanan menakjubkan bagi kedua-dua pasukan. Saya akui pemain melakukan dengan baik, tetapi malangnya kami melepaskan banyak gol tetapi tidak mampu mencipta lebih banyak jaringan.
“Kami memperagakan aksi terbaik ketika berdepan pasukan yang cukup luar biasa. Cuma, saya fikir kami menjadi terlalu gementar ketika melihat mereka melakukan kebangkitan.
“Jelas Real Madrid memberi tekanan dengan hebat. Kualiti yang mereka tunjukkan seperti itu boleh menghukum anda sekiranya gagal memberikan fokus ataupun menjadi terlalu takut,” katanya.
Kegagalan City untuk membawa bekalan lebih banyak gol serta kemampuan Real mencuri kesempatan menyaksikan aksi kedua di Santiago Bernabeu minggu depan menjadi lebih terbuka. – AGENSI