PUTRAJAYA – Penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dilakukan menerusi aktiviti cerapan rasmi di seluruh negara di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, aktiviti cerapan anak bulan itu akan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri.
Beliau memberitahu, ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
“Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh Jupem.
“Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Hakimah berkata, pihaknya ingin merujuk isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang sedang tular di media sosial.
Beliau menjelaskan, negara menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
“Kaedah itu adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri,” katanya.
“Sehubungan itu, suka pihak Jakim menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak berautoriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE