PETALING JAYA – Penerbit sensasi, Datuk A. Aida tidak mempunyai keterujaan untuk beraya tahun ini kerana banglo mewah miliknya di Janda Baik, Pahang masih belum siap sepenuhnya.
Kata pemilik nama lengkap, Zaidah Awang itu, sepatutnya beliau sekeluarga bercuti di Pulau Sipadan, Sabah namun hasrat tersebut juga tidak kesampaian.
“Sebenarnya, raya tahun ini saya dan anak-anak rancang nak bercuti di Sabah. Sipadan ke, tapi semua tutup, raya ketiga baru buka.
“Jadi, yang paling dekat saya cakap pergi Genting Highlands sahajalah sebab lagipun, sekarang ini saya dalam 90 peratus nak siapkan rumah di Janda Baik.
“Jadi, hati ini tiada mood nak beraya padahal mereka pun nak ajak pergi Switzerland apa semua. Saya cakap, tiada mood. Kalian adik-beradik nak pergi, silakan.
“Jadi, lepas raya mereka dua beradik (Aleesa dan Natassha) pergi bercuti ke Switzerland rasanya. Jadi, lantak merekalah. Saya memang tak boleh pergi sebab nak siapkan rumah di Janda Baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar A. Aida, selagi banglo miliknya belum siap sepenuhnya, memang beliau tidak akan pergi ke mana-mana terutama ke negara luar.
“Selagi rumah ini tak siap, orang nak ajak pergi London ke, mana ke memang saya takkan turut serta,” jelasnya.
Ditanya sama ada memang menjadi tradisi atau kebiasaan keluarganya tidak beraya di kampung, jawab A. Aida, beliau anak-beranak memang akan bercuti terutama sebelum era pra-pandemik.
“Sebelum pandemik dah enam tahun beraya di luar negara. Sebab, ibu bapa saya dah meninggal dunia. Setiap kali raya bersama keluarga lebih kurang dua minggu pergi bercuti.
“Nak pergi mana, terpulang kepada mereka. Macam lagu Kisah Cinta Kita itu, saya pergi pusing Eropah 12 negara. Pandu kereta dan berjalan, dapat inspirasi tulis lagu.
“Bagi saya, raya adalah masa bersama keluarga tersayang. Tak kisah di mana-mana sekalipun. Sebelum pandemik, anak-anak pilih nak pergi mana. Hong Kong, okey. Itali? okey jom. Selama enam tahun.
“Jujurnya, tiada rasa rindu pun (beraya di kampung). Dapat juga pengalaman raya di tempat orang kan. Yang penting, bersama keluarga. Juadah raya kami bawa dan masak sendiri. Ada sekali beraya di Belanda, malam raya kami ‘bertukang’ di dapur masak rendang, ketupat dan sebagainya,” kata A. Aida. – KOSMO! ONLINE