fbpx

Penduduk Beijing bimbang perintah berkurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas seorang wanita di Beijing, semalam. - AFP

BEIJING – Beijing melakukan  ujian koronavirus  besar-besaran terhadap hampir semua 21 juta penduduknya semalam ketika kebimbangan meningkat bahawa ibu kota China itu mungkin diletakkan di bawah sekatan ketat seperti Shanghai.

China cuba membendung gelombang jangkitan Covid-19 di Shanghai yang hampir keseluruhannya berada di bawah perintah berkurung selama berminggu-minggu. Bandar raya terbesar di China itu melaporkan 52 kematian baharu Covid-19 semalam.

Pihak berkuasa mengarahkan orang ramai di 12 daerah pusat yang merangkumi sebahagian besar penduduk Beijing  untuk menjalani tiga pusingan ujian PCR selepas berpuluh-puluh kes dikesan di kota  raya itu sejak beberapa hari lalu.

Daerah  pusat bandar yang paling ramai penduduk di Beijing, Chaoyang adalah yang pertama mengarahkan ujian besar-besaran Covid-19  mulai kelmarin, dengan orang ramai beratur panjang untuk menjalani ujian calitan.

Arahan  ujian saringan besar-besaran di Chaoyang mencetuskan pembelian panik penduduk dari malam Ahad lepas. Mereka beratur di pasar-pasar raya dan memenuhi troli serta beg beli-belah dengan barang keperluan walaupun pemerintah cuba menyakinkan orang ramai bekalan mencukupi.

Penduduk Beijing memberitahu agensi berita AFP bahawa mereka bimbang insiden perintah berkurung secara tiba-tiba seperti yang berlaku secara tiba-tiba di Shanghai berulang. Bandar raya itu menyaksikan orang ramai bergelut untuk mendapatkan makanan dan rawatan perubatan untuk simptom bukan Covid.

Pegawai kesihatan Beijing,  Xu Hejian berkata kelmarin bahawa penularan  virus di bandar raya itu masih terkawal.

Beijing melaporkan 33 kes baharu semalam, jauh lebih rendah berbanding lebih 16,000 kes baharu di Shanghai dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai Beijing bimbang dan mahu mengelakkan wabak  menjadi semakin meningkat.

Mereka  menggesa syarikat-syarikat  untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah, menutup sejumlah  bangunan dan menggantung sektor pelancongan menjelang cuti umum yang panjang pada 1 Mei ini. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI