ALOR SETAR – BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) mengambil inisiatif menceriakan suasana balik kampung
dengan mengedarkan lebih 300 cenderamata kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan di Plaza Tol Hutan Kampung di sini hari ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan BDB, Sr Che Had Dhali berkata, program itu bertujuan untuk berkongsi semangat dan kemeriahan pengguna lebuh raya pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
Menurut beliau, pihaknya juga mengambil peluang untuk memperkenalkan produk terbaharu BDB Land sambil menyantuni anak-anak Kedah yang pulang ke kampung.
“Sebanyak 300 pengguna lebuh raya yang bertuah menerima beg cenderamata mengandungi sampul duit raya, pemacu kilat mengandungi risalah serta video promosi BDB Land, pelitup muka dan pembersih tangan yang cukup istimewa,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan cenderamata tersebut di Plaza Tol Hutan Kampung di sini hari ini.
Tambahnya, sebagai anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Kumpulan BDB dan BDB Land mengalu-alukan kepulangan anak Kedah ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. – KOSMO! ONLINE