KUALA LUMPUR – Riak wajah bersahaja Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyanyikan semula lagu Standing In The Eyes Of The World yang diberi nafas baharu bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menarik perhatian netizen selepas ia dimuat naik ke platform media sosial.
Klip video rakaman nyanyian bersempena sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang ke-57 itu turut menampilkan dua penyanyi asal lagu tersebut iaitu Ella dan Lah Ahmad yang juga kelihatan selesa bergandingan bersama barisan orang kuat negeri Selangor.
Tambah menarik, klip video berdurasi kira-kira enam minit yang dimuat naik pada 16 September lalu itu turut memaparkan kebolehan barisan ADUN Selangor menyanyi mengikut irama lagu tersebut sebelum dikejutkan dengan penampilan Amirudin yang menyanyi rap.
Susulan penularan klip video berkenaan, pelbagai komen-komen mencuit hati mula membanjiri platform media sosial yang rata-rata memuji kebolehan Amirudin untuk menyanyi rap dengan riak bersahaja.
“Aku rasa MB (Menteri Besar) ni macam kita juga yang mempunyai minat lain namun rezeki di tempat lain,” kata pemilik akaun YouTube yang menggunakan nama FareeqRazak.
Seorang lagi pemilik akaun dengan nama Muhammad Yasir Bin Tamizi berkata: “Siapa tidak meremang mendengar lagu ini, dia tiada jiwa. Pasukan terbaik YB Muda Selangor,” katanya.
Tinjauan di laman Twitter turut mendapati rata-rata pengguna media sosial itu memuji kreativiti barisan pemimpin negeri Selangor yang dirasakan berjaya menarik minat serta memupuk semangat cintakan negara di kalangan netizen.
“Suka part MB Selangor buat pergerakan kepala, nampak betul-betul menjiwai lagi,” kata pemilik akaun Twitter izzulaiman. – K! ONLINE
Mantap la @AmirudinShari. Risau lepas ni K-Clique tak boleh cari makan dah pic.twitter.com/6tlkzZW6UJ
— Khairil Anuar (@KhairilAnuar) September 16, 2020