fbpx

[VIDEO] Pegawai polis cedera dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kecederaan dialami Ismail setelah dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua lelaki disyaki warga Indonesia di Persiaran Mokhtar Dahari awal pagi tadi

SHAH ALAM – Seorang pegawai polis cedera di bahagian kaki kiri selepas dilanggar lari sebuah kenderaan dinaiki dua lelaki disyaki warga Indonesia dalam kejadian di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.10 pagi ketika Inspektor Ismail Aun, 55, dalam perjalanan ke kawasan aduan kesesakan jalan raya di Bulatan Puncak Perdana.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 sedang melakukan operasi sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Mokthar Dahari dengan berpakaian preman.

Katanya, sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua warga Indonesia yang ditahan oleh anggota polis trafik telah berhenti di tepi jalan di kawasan sekatan jalan raya tersebut.

“Bagaimanapun, kereta itu didapati melarikan diri dan telah melanggar motosikal ditunggangi mangsa yang berada di hadapannya.

“Mangsa telah terjatuh di jalan raya dan kereta tersebut terus menghala ke Puncak Alam di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, semakan terhadap kenderaan dengan nombor pendaftaran WHQ 4088 didapati daftar atas penama Mopid Norasmad, 51, yang beralamat di Jalan Titiwangsa 24, Seksyen 24 di sini.

Sehubungan itu, usaha mengesan pemilik kenderaan tersebut sedang giat dilakukan pihaknya.

“Orang ramai diminta tampil menyampaikan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran agar dua suspek yang terlibat berjaya ditangkap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 / 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Insiden itu tular selepas video berdurasi 24 saat dimuatnaik di laman sosial Facebook. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI