MOSCOW – Pihak berkuasa Russia dan Donbas mengadakan gencatan senjata khas di kawasan perindustrian Azovstal di bandar Mariupol yang dikepung bermula pukul 2 petang kelmarin (waktu Moscow), lapor laman berita RT.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, gencatan senjata dilaksanakan supaya penduduk awam Ukraine yang berlindung di loji tersebut dapat keluar menyelamatkan diri.
Pengarah Pengurusan Pusat Pertahanan Kebangsaan Russia, Kolonel Jeneral Mikhail Mizintsev memaklumkan bahawa unit-unit bersenjata diminta berundur pada jarak selamat dan mengekalkan laluan keluar kepada orang awam.
“Sepanjang gencatan senjata ini berlangsung, tiada halangan untuk orang awam meninggalkan Azovstal.
“Namun Kremlin tidak akan bertanggungjawab sekiranya Kiev mengambil keputusan untuk menggunakan penduduk sebagai perisai manusia,” ujar Mizintsev.
Pada Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin membatalkan serangan ke atas kilang keluli itu, sebaliknya memilih untuk mengepung kawasan tersebut.
Menurut Mizintsev, laluan selamat dari Azovstal sebenarnya telah dibuka sejak 21 Mac lagi.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menuduh Rusia gagal menjamin gencatan senjata di kawasan itu.
“Gencatan senjata kali ini dijamin berlangsung dengan lancar dan Rusia akan memaklumkan perkembangannya kepada Vereshchuk.
“Maklumat mengenai gencatan senjata dan laluan selamat akan dihantar kepada pihak berkuasa Ukraine melalui radio setiap 30 minit,” jelas kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.
Bagaimanapun, Ukraine seperti masih tidak berpuas hati dengan langkah penyelesaian yang ditawarkan Kremlin apabila terus mendakwa bahawa Russia tidak bersikap telus berhubung koridor kemanusiaan tersebut.
“Koridor gencatan senjata ini tidak mendapat persetujuan antara kedua-dua belah pihak kerana ia adalah pengumuman satu pihak dan tidak menjamin keselamatan penduduk Ukraine.
“Jadi saya isytiharkan secara rasminya bahawa koridor kemanusiaan seperti yang dikatakan Rusia tidak akan berlaku,” tegas Vereshchuk. – Agensi