KUALA LUMPUR – My Events International (My Events) akan meneruskan kerjasama dengan dua lagi rakan perniagaan untuk menganjurkan jualan secara besar-besaran seperti Festival Gaya Raya pada masa depan.
Festival Absolut Bazaar x Gaya Raya 2022 bermula 22 April selama empat hari tanpa henti selama 66 jam yang diadakan di MITEC sini turut dijayakan bersama oleh Absolut Event & Management.
Ketua Pegawai Eksekutif My Events, Hema Kandy berkata, gabungan semangat kerjasama, kemahiran, pengalaman dan bidang masing-masing menjadi faktor utama majlis tersebut berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Sebanyak 420 usahawan berkumpul untuk jualan mega di sini selama 66 jam dan ini adalah peluang untuk mereka menawarkan produk masing-masing dengan harga menarik memandangkan ia adalah minggu terakhir untuk persiapan hari raya.
“Meskipun ada juga jualan mega berlangsung di lokasi-lokasi utama di sekitar Lembah Klang, ia tidak menjejaskan jualan di sini kerana kami memiliki keunikan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Festival Absolut Bazaar x Gaya Raya 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar di MITEC di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Besar Pembangunan MITEC, Winnee Lim; Pengasas Bersama Absolut Brands Sdn. Bhd. Nurali Nadzwan dan Sharifah Nadiyah Syed Fuad.
Lim menerangkan, kelebihan MITEC yang memiliki keluasan dan boleh menampung sehingga 100,000 pengunjung dalam satu-satu masa menawarkan keselesaan dan penjarakan sosial yang bersesuaian untuk orang ramai membeli-belah bagi membuat persiapan hari raya.
Kemudahan yang lengkap seperti surau, tempat makan dan juga kawasan meletak kenderaan di sini juga memainkan peranan bagi meningkatkan keyakinan pengunjung ke sini.
Sementara itu, Nurali memaklumkan, penganjuran jualan selama 66 jam tanpa henti di sini memberi peluang kepada pengunjung untuk berada di MITEC sepanjang hari menunjukkan lokasi dan kemudahan di sini bersesuaian untuk mereka bersama keluarga berkumpul menikmati makanan dan minuman untuk berbuka serta bersahur selain membeli-belah.
“Kami mahu kesepakatan kerjasama ini diteruskan pada jualan hari raya tahun depan atau jika ada permintaan kami mahu membawa konsep yang sama ke luar Lembah Klang,” ujarnya. -KOSMO! Online