MARANG – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memperuntukkan RM2 juta sebagai sumbangan kepada golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memberi tumpuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan (B40) di seluruh negara.
“Sepanjang bulan Ramadan ini, kita menjelajah seluruh negara untuk menyantuni golongan asnaf dan B40.
“Peruntukan program CSR pada bulan Ramadan tahun ini melebihi daripada tahun-tahun terdahulu sesuai dengan pendapatan Yapiem yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini kelmarin.
Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris.
Seramai 50 orang terdiri daripada 45 kanak-kanak dan lima balu anggota polis menerima sumbangan daripada Yapiem.
Mohd. Redza Shah berharap, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban dan menggembirakan golongan terbabit menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Penyerahan sumbangan kepada golongan sasar sudah mencapai 75 peratus. Bakinya akan diberi dalam minggu terakhir Ramadan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Redza Shah memberitahu, Yapiem menyasar untuk membaik pulih 100 rumah asnaf terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.
“Setakat ini, kita sudah berjaya menyiapkan kerja baik pulih di 36 rumah asnaf terlibat. Kita memperuntukkan maksimum RM60,000 bagi setiap rumah berkenaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE