Sebelum Mac 2020 istilah ekonomi gig mungkin agak asing bagi sebilangan besar rakyat Malaysia.
Ia kerana ekonomi gig sebelum Mac 2020 bukan sektor pekerjaan yang menjadi tumpuan masyarakat Malaysia.
Ekonomi gig ialah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas yang disokong aplikasi teknologi.
Keadaan itu berubah sepenuhnya apabila virus Covid-19 ‘menembusi’ Malaysia.
Begitu banyak perniagaan gulung tikar menyebabkan ramai hilang pekerjaan mempopularkan ekonomi gig.
Ekonomi gig menjadi tempat ramai yang terjejas pendapatan bergantung untuk kelangsungan hidup.
Malaysia bermula 1 April 2022 bagaimanapun telah memasuki fasa peralihan endemik.
Ia bermaksud hampir semua sektor ekonomi yang ditutup semasa pandemik kembali beroperasi.
Namun demikian sebilangan rakyat yang telah menyertai ekonomi gig memilih kekal dalam sektor berkenaan.
Mereka berasa selesa untuk terus berada dalam sektor tersebut disebabkan beberapa faktor.
Antaranya mampu menjana pendapatan yang baik, tidak terikat kepada arahan dan bekerja secara fleksibel.
Seorang pekerja ekonomi gig yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing sejak 2020 mengesahkan keadaan itu.
Mohd. Helmi Irwadi Mohd. Nor, 36, berkata, buat masa ini dia memilih terus kekal dengan pekerjaan tersebut.
“Jika saya ditawar gaji lebih kurang pendapatan sebagai pemandu e-hailing boleh terima kerana hari cuti masih boleh jana pendapatan tambahan memandu e-hailing.
“Kalau gaji lebih rendah tidak akan terima, tetapi kena disiplin berbelanja, selesaikan komitmen, menyimpan, selenggara kereta dan lain-lain.
“Keuntungan kerja sendiri tidak terikat dengan majikan dan dapat uruskan masa sendiri. Tiada tekanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Perkembangan itu menimbulkan kegelisahan sebilangan majikan kini berdepan kesukaran mendapat pekerja.
Menjadi alasan supaya kerajaan membenarkan pekerja asing bekerja di negara ini bagi menampung keperluan.
Perkara itu mendapat respon Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan baru-baru ini.
Menurut beliau, golongan majikan perlu mengerti rakyat kini memiliki pilihan untuk menyertai ekonomi gig.
Kata beliau, golongan belia boleh memperoleh pendapatan lebih RM1,500 sebulan dengan bekerja dalam ekonomi gig.
Justeru, katanya, golongan majikan wajar menyokong pelaksanaan gaji minimum diperkenalkan kerajaan.
“Mereka boleh tentukan pukul berapa nak bekerja, siang atau malam, 24 jam atau 12 jam dan bila cuti boleh dapat lebih RM1,500 (sebulan).
“Jadi mengapa perlu terima tawaran kerja dengan gaji lebih rendah. Tujuan saya (memberi contoh itu) adalah untuk memastikan supaya kita (golongan majikan) bayar gaji minimum,” katanya.
Kesimpulannya, pertumbuhan ekonomi gig telah merubah sektor pekerjaan apabila golongan pekerja kini memiliki lebih opsyen.
Justeru, pelaksanaan gaji minimum tidak harus dilihat sebagai suatu anasir untuk menekan golongan majikan.
Sebaliknya mendorong mereka ‘berasimilasi’ dengan perkembangan dan trend ekonomi semasa.