CYBERJAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memohon maaf kepada semua penonton yang tersinggung dengan video muziknya sebelum ini dan memohon agar tidak melibatkan ahli keluarganya dalam kontroversi tersebut.
Aliff Syukri, 35, berkata, dia telah memberikan kerjasama yang baik yang kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan siasatan juga sedang dilakukan berhubung kes itu oleh suruhanjaya tersebut.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada MCMC kerana memberi layanan yang baik kepada saya dan saya memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya sebelum ini.
“Namun saya mohon jangan lah libatkan keluarga saya dan ibu saya dalam kontroversi ini, lebih-lebih lagi dia (ibu) kini sedang menunaikan ibadah umrah,” katanya ringkas ketika ditemui di Ibu Pejabat MCMC di sini hari ini.
Terdahulu, Aliff Syukri dilihat tiba ke pekarangan ibu pejabat MCMC pada pukul 9.58 pagi dan keluar hampir lima jam kemudian selepas dipanggil untuk memberikan keterangan dan dirakamkan percakapan berhubung isu video muzik yang sebelum ini menerima kecaman hebat daripada orang ramai.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam juga memaklumkan bahawa MCMC akan memanggil individu yang terlibat dengan klip video muzik sempena Aidilfitri yang menerima kecaman hebat baru-baru ini.
Ujar beliau, SKMM telah membuka satu kertas siasatan untuk menyiasat perkara tersebut di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Klip video muzik berdurasi 5 minit 23 saat yang dimuat naik ke laman YouTube baru-baru ini dikecam hebat pengguna laman media sosial apabila memaparkan sekumpulan lelaki menari dalam keadaan menggeletis dengan menggayakan pakaian yang disifatkan sebagai tidak menghormati bulan suci Ramadan.– KOSMO! ONLINE