SHAH ALAM – Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Hulu Selangor, menerima ‘ahli keluarga’ baharu dengan kelahiran seekor anak tapir betina yang juga spesis terancam semalam.
Tapir itu selamat dilahirkan ibunya yang bernama Bera di kandang pusat berkenaan pukul 3.53 petang.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, anak tapir seberat 9 kilogram (kg) itu merupakan hasil bersama tapir induk jantan bernama Gadek.
“Saiz badan haiwan itu berukuran 57 sentimeter (cm) manakala kepalanya sebesar 24 cm.
“Anak tapir betina yang berketinggian 36 cm itu dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas Choon Yung, ia merupakan kelahiran kedua anak tapir di PKHL pada tahun ini.
“Pada 21 Mac lalu, seekor anak tapir betina seberat 8.85 kg turut dilahirkan di pusat konservasi berkenaan. Ia merupakan anak kepada pasangan Boy (jantan) dan Mala (betina) yang juga dalam keadaan sihat,” katanya. -KOSMO! ONLINE