fbpx

Kerajaan akan perhalusi cadangan memperkasa DDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) mempengerusikan mesyuarat EAC di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan akan memperhalusi cadangan dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan pelaburan langsung domestik (DDI).

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 Tahun 2022 yang berlangsung hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat itu telah membincangkan dua perkara utama berhubung (DDI) dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre – OSC) pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Negara yang kini dalam fasa Peralihan ke Endemik dan DDI adalah elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi.

” Sehubungan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, antara cadangan tersebut termasuklah melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi serta melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan dan merekayasa proses pengurusan buruh asing.

Turut dicadangkan, ujar beliau, adalah menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing (PKS-FDI).

“Bagi melonjakkan potensi DDI, kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya memperkasakan pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus.

“OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawalselia dan memudahcara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

Beliau berkata, proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik.

“Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI