LONDON – Seorang wanita di Britain bertindak mengahwini kucing peliharaannya bagi menghalang pemilik rumah yang disewa daripada mengarahkannya untuk membuang haiwan itu, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Deborah Hodge, 49, berkahwin dengan kucing bernama India dalam satu acara sivil di sebuah taman di London Tenggara, minggu lalu.
Menurut ibu tunggal itu, dia sering diarahkan oleh beberapa pemilik rumah sewanya sebelum ini untuk membuang kucing kesayangannya itu.
“Saya tidak boleh hidup tanpa India. Ia seekor kucing yang penyayang dah hebat. Ia adalah perkara terpenting dalam hidup saya selain anak-anak,” katanya.
Tambah Hodge, selepas kehilangan pekerjaan bulan lalu, dia bimbang akan diusir dari rumah sewanya di Sidcup, London Tenggara.
“Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mengahwini India supaya pemilik rumah sewa baharu tahu bahawa kucing ini tidak boleh dipisahkan dengan saya,” ujarnya.
Hodge memelihara India sejak 2017 dan kucing itu kehilangan sebelah kaki akibat dilanggar sebuah kereta pada 2020. – Agensi