fbpx

Jangan pandu lorong kanan kalau perlahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka akan berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri kali ini dan mulai Jumaat ini, jutaan warga kota bakal mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.

Setelah dua tahun tidak dibenarkan pulang gara-gara larangan merentas negeri akibat pandemik, semangat untuk pulang beraya di kampung bagai tidak boleh dibendung lagi.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan untuk pulang menyambut lebaran, janganlah pula kita alpa tentang aspek keselamatan serta amalan pemanduan berhemah dan selamat. Mengikut statistik,

Ops Selamat 2018 merekodkan sebanyak 22,411 kemalangan dengan 248 orang maut, manakala 24,461 kemalangan dengan 249 maut pada tahun 2019 hanya dalam tempoh seminggu sebelum dan seminggu selepas raya.

Angka itu seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati ketika memandu lebih-lebih lagi ketika gelombang besar kenderaan memenuhi setiap laluan pulang.

Dengan pemandu yang terdiri daripada pelbagai ragam dan perangai, sudah tentu jalan raya menjadi tempat yang amat berisiko setiap kali pulang beraya.

Jadi, semua pemandu harus memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin bukan sahaja untuk mengelakkan berlakunya kemalangan, malah turut memastikan perjalanan pulang menjadi lancar.

Seelok-eloknya, pandulah dengan kelajuan yang munasabah, tidak terlalu laju dan tidak juga terlalu perlahan. Jika terlalu laju, lebih-lebih lagi jika memandu secara melulu, sudah tentu ia boleh mendedahkan anda kepada risiko berlakunya kemalangan.

Jika berlakunya kemalangan, sudah tentu ia juga akan melibatkan pihak-pihak lain yang tidak bersalah kerana kecuaian anda. Begitu juga yang memandu terlalu perlahan.

Kalau boleh elakkan daripada berbuat demikian kerana pemanduan seperti itu akan menghalang kelancaran perjalanan yang akhirnya menyebabkan kesesakan dan paling teruk mendorong pemandu lain terjebak dalam kemalangan.

Sifirnya mudah saja, jika laluan di depan anda tiada kenderaan, tetapi di belakang bersusun kereta mengekori, itu tandanya anda terlalu perlahan dan anda sebenarnya telah menghalang kelancaran pemanduan pemandu lain.

Jika di lebuh raya, pandulah di lorong yang betul. Jika perlahan duduk saja di laluan sebelah kiri.

Selain itu, pastikan anda berada dalam keadaan cergas dan tidak mengantuk ketika memandu. Jika mengantuk, berhenti dan berehatlah sebelum teruskan perjalanan.

Setiap pemandu sama ada kereta mahupun penunggang motosikal juga seboleh-bolehnya mestilah berupaya untuk meramal risiko bahaya di jalan raya bagi mengelakkan kita terjebak dengan kemalangan.

Paling utama, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, pandu dengan berhemah, tidak terburu-buru, jangan melulu dan patuhi setiap peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Semoga Ops Selamat 2022 yang akan bermula dari 29 April hingga 8 Mei ini mampu mencatat sejarah dengan sifar kemalangan maut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI