fbpx

Cuti 2,200 penguatkuasa JPJ dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (depan kanan) melihat lesen dan cukai jalan sebuah bas ekspress.

KLANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membekukan cuti seramai 2,200 pegawai dan anggota penguat kuasanya di seluruh negara sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022.

Operasi khas bermula 29 April hingga 8 Mei itu memfokuskan penguatkuasaan dan advokasi bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, semua penguat kuasa itu ditugaskan untuk menjalankan pemantauan menyeluruh di semua kawasan termasuk lokasi panas.

Katanya, ia melibatkan pemeriksaan bas di depoh dan terminal bas selain penguatkuasaan di lebuh raya atau jalan utama.

“Selain itu, Ops HRA menumpukan operasi khas motosikal, operasi penyamaran anggota sebagai penumpang bas dan operasi Lesen Permit Sementara (LPS).

“Bagi memastikan kelancaran operasi itu, cuti kesemua 2,200 pegawai dan anggota penguat kuasa terpaksa dibekukan,” katanya selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral di sini, hari ini.

Jelas Lokman, sebanyak 77 depoh bas akan diperiksa pihaknya bagi memastikan semua pengusaha dan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Fokus utama pemeriksaan itu antaranya melibatkan faktor tayar, lesen, enjin dan pemandu bas terutama melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Setakat ini, hampir sebahagian besar depoh itu sudah diperiksa dan tiada kesalahan atau tindakan penguatkuasaan diambil,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan sebanyak 14.7 juta kenderaan akan membanjiri jalan raya sepanjang cuti Aidilfitri.

“Justeru, kita menggalakkan orang ramai supaya menggunakan aplikasi e-aduan@jpj bagi menyalurkan maklumat mengenai sebarang kesalahan jalan raya.

“Kita turut sudah menetapkan lima kesalahan yang tidak boleh dikompaun iaitu guna telefon bimbit dan lorong kecemasan, potong Q, langgar lampu merah dan memandu melebihi had laju,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI