BEIRUT, Lebanon – Sekurang-kurangnya enam maut manakala 48 yang lain berjaya diselamatkan selepas sebuah bot terlebih muatan yang membawa pelarian karam di utara Lebanon ketika dikejar tentera laut, lapor laman berita Wion News.
Bot yang membawa hampir seramai 60 penumpang itu dilaporkan karam berhampiran bandar pelabuhan Tripoli pada malam kelmarin, yang menjadi lokasi mereka melarikan diri.
Insiden tersebut bukan kali pertama berlaku di negara yang sedang bergelut dengan krisis kewangan itu.
Ia dilihat memberi peringatan mengenai penderitaan sejumlah penduduk termasuk warga Lebanon dan pelarian Syria sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa di laut untuk melarikan diri ke luar negara.
“Pasukan tentera laut berjaya menyelamatkan 48 orang dan menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dari bot yang karam ketika mereka cuba melarikan diri secara haram. Kebanyakan penumpang di atas bot berjaya diselamatkan,” kata tentera laut dalam satu kenyataan.
Pasukan tentera laut telah mengumpulkan lima mayat dari pantai Tripoli semalam, lapor Agensi Berita Nasional.
Saudara-mara mangsa didengari meraung dari bilik mayat Tripoli yang menempatkan kesemua mayat, demikian menurut seorang wartawan AFP.
Dalam pada itu, sekumpulan lelaki dilaporkan menyerbu masuk ke dalam bilik mayat tersebut dan cuba merampas mayat untuk dikebumikan, kata wartawan berkenaan.
Berhampiran kawasan itu, berpuluh-puluh lelaki turut bertindak melontar batu ke arah dua kereta kebal tentera bagi melepaskan kemarahan mengenai tragedi itu. – Agensi