KUALA TERENGGANU – Sindiket pemerasan menggunakan video lucah milik mangsa berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan tiga suspek termasuk pasangan suami isteri kelmarin.
Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 39 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan di Sungai Petani dan Baling, Kedah dalam serbuan bermula pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, serbuan itu dilakukan berikutan aduan diterima daripada tiga lelaki di daerah ini dan Marang yang mendakwa menjadi mangsa pemerasan suspek sepanjang bulan Ramadan ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 27 hingga 38 tahun termasuk seorang pejawat awam masing-masing mengaku melakukan panggilan video lucah dengan salah seorang suspek antara 11 April hingga 20 April lalu.
“Modus operandi sindiket itu ialah berhubung dengan mangsa menerusi aplikasi sosial termasuk Mi Chat, We Chat dan WhatsApp sebelum mengajak melakukan panggilan video lucah.
“Anggota sindiket akan merakam aksi-aksi mengghairahkan lelaki berkenaan sewaktu panggilan video berlangsung sebelum memeras ugut mangsa untuk menyebarkannya ke media sosial,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Rohaimi berkata, siasatan mendapati sepanjang perbualan menerusi panggilan video itu, mangsa sebenarnya berhubung dengan suspek lelaki yang disangkanya wanita.
Tambah beliau, sindiket terbabit melakukan penyamaran dengan menayangkan video lucah melibatkan seorang wanita tidak dikenali yang dipercayai dimuat turun daripada Internet. – KOSMO! ONLINE