SEREMBAN – Polis menjangkakan 1 juta kenderaan akan memasuki Negeri Sembilan pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, peningkatan kenderaan itu adalah kerana tahun ini masyarakat dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, jangkaan berkenaan adalah tinggi berbanding kebiasaannya jumlah trafik yang dicatatkan sekitar 77,000 hingga 100,000 kenderaan sahaja, namun mampu mencecah 1 juta susulan kepulangan anak-anak ke kampung.
“Jadi kita nasihatkan agar pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan, memandangkan kemalangan yang berlaku di negeri ini kebiasaannya adalah disebabkan terbabas sendiri.
“Bagi memastikan pengguna jalan raya di negeri ini dapat sentiasa menjaga peraturan jalan raya, sepanjang 1 hingga 23 April, kita telah melaksanakan sebanyak 139 operasi dan sebanyak 11,606 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di negeri ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, beliau telah melancarkan Program Jelajah Pra Op Selamat 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Petronas Zon Selatan di Petronas Nilai Impian, di sini sempena sambutan Aidilfitri.
Turut hadir, Ketua Jualan Runcit Centre 3, Ikhwan Shah.
Dalam program berkenaan, polis Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti turut melaksanakan kempen Go-To-Safety-Point (GTSP) bagi orang awam yang menjadi mangsa jenayah atau berada dalam keadaan kecemasan boleh mendapatkan bantuan di Petronas paling hampir.
Shafiei berkata bagi memastikan kelancaran lalu lintas di Negeri Sembilan, lebih 250 anggota serta pegawai bahagian trafik akan bertugas menjaga dan mengawal lalu lintas sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
Untuk rekod, 12 lokasi blackspot dicatatkan di negeri ini antaranya kilometer 1-2, Jalan Tampin-Seremban, kilometer 14 hingga 22, Jalan Seremban – Kuala Pilah dan kilometer 5 hingga 9, Jalan Bahau-Kemayan.
Manakala, terdapat 19 lokasi hotspot dicatatkan di negeri ini antaranya Jalan Ulu Bendul – Terachi – Pekan Kuala Pilah, Jalan Rasah di Seremban dan kilometer 5 hingga 7, Jalan Pantai di Port Dickson. – KOSMO! ONLINE.