KLANG – Seramai 43 pelajar lelaki Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin di sini, terselamat apabila asrama sekolah itu terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan semua penghuni sedang menunaikan solat tarawih.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 9.40 malam.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 29 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.
“Anggota kita bersama beberapa jentera kemudian segera memadamkan api yang sedang marak memusnahkan 70 peratus asrama itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Norazam, kebakaran itu berjaya dikawal pukul 10.09 malam tadi dengan punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. -KOSMO!ONLINE